Planworth Memperuntukkan Dana Pembiayaan Sebanyak RM500 Juta untuk Memperkasa PMKS Tempatan

Kuala Lumpur, 9 Ogos 2022 – Planworth Global Factoring, institusi kewangan bukan bank untuk pemfaktoran dan Rantaian Bekalan Kewangan yang terkemuka dan terbesar telah memperuntukkan sejumlah RM 500 juta untuk membawa penyelesaian kemudahan pemfaktoran dan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Dana tersebut bertujuan memperkasa PMKS dan syarikat-syarikat pemula yang menjalankan urusan Perniagaan ke Perniagaan (B2B) dan Perniagaan ke Kerajaan (B2G) dengan akses ke pembiayaan modal yang selamat dan mudah.

Sekitar 97.4% daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia buat masa kini terdiri daripada PMKS, dan ia juga merupakan penunjuk utama kesihatan ekonomi tempatan. Dengan memahami kesan jangka masa panjang Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19 terhadap kebanyakan perniagaan, ramai pakar telah menyarankan pemberian sokongan kewangan yang lebih besar bagi mengukuhkan lagi usaha pemulihan PMKS pasca pandemik – sebuah matlamat yang turut disokong oleh Planworth melalui inisiatif pembiayaan ini.

Mengenai hal ini, Ketua Pegawai Eksekutif Planworth Global Factoring, Dato Andy Kuek berkata, “Visi Planworth adalah untuk memperkasa PMKS tempatan untuk berkembang dan menyumbang kepada ekonomi negara kita dengan penyelesaian keberkesanan kos kami yang boleh diperibadikan. Setakat ini kami telah menyalurkan lebih daripada RM1 bilion kepada PMKS tempatan. Berikutan kisah-kisah kejayaan yang telah kami saksikan sendiri, kami kini memperuntukkan lebih dana untuk membantu lebih banyak PMKS dengan keperluan dokumen yang ringkas, polisi yang mesra kredit untuk PMKS, proses kelulusan yang pantas, serta penyaluran dana yang pantas tanpa perlu jaminan.”

Dengan peruntukan sebanyak RM500 juta ini, Planworth akan memperluas lagi penyelesaian pembiayaan setempat mereka yang komprehensif bagi menyediakan Surat Sokongan, Modal Kerja, Pembiayaan PO, dan Pembiayaan Pasca/Pembiayaan Invois (Post Financing/Invoice Financing) untuk memenuhi keperluan perkembangan PMKS pada setiap tahap, serta untuk keperluan pembiayaan perniagaan jangka pendek hujung-ke-hujung. Melalui penyediaan akses bagi pengaliran tunai yang selamat dan lebih pantas, Planworth membolehkan syarikat-syarikat ini memenuhi keperluan kewangan mereka dengan segera serta membiayai operasi kewangan harian mereka.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada matlamat utama Planworth dalam memperjuangkan perkembangan lanskap perniagaan tempatan dan kewangan, sebagai institusi kewangan pemfaktoran pilihan PMKS dan syarikat-syarikat pemula yang memerlukan pembiayaan. Planworth merupakan sebuah institusi kewangan yang bereputasi dan berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia dan ePerolehan untuk membiayai para kontraktor, penjual, dan pembekal kepada Kerajaan, Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), dan sektor swasta. Kemudahan Pemfaktoran/Pembiayaan Invois Planworth dikecualikan daripada duti setem bermula daripada 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2023, berikutan kelulusan daripada Kementerian Kewangan Malaysia.

Press Release <TheMalayPost.com>